Sunday 26 June 2011

Rejab..

بسم الله الرحمن الرحيم

Rejab ertinya mulia atau agung. Bulan Rejab begitu dianggap mulia khususnya bangsa Arab. Orang-orang Arab menamakan bulan Rejab kerana pada masa dahulu mereka begitu memuliakan bulan tersebut dengan berbagai cara, di antaranya:

1.   Mereka menyembelih unta pada tanggal 1 Rejab sebagai binatang korban dan menamakan korban itu dengan nama Fara'
2.   Menjelang 10 Rejab, mereka kan menyembelih seekor lagi unta dan korban ini dinamakan Utairah
3.   Sepanjang bulan Rejab, mereka diharamkan berperang dan berbunuhan
4.    Pada tanggal 1 Rejab, mereka akan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan memberi peluang kepada orang ramai beribadat  sepuas-puasnya.

Walaubagaimanapun,setelah kedatangan Islam,sebahagian amalan tersebut tidak dilakukan lagi seperti menyembelih unta pada 1 dan 10 Rejab berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tidak ada penyembelihan haiwan pada tanggal 1 dan 10 Rejab dalam Islam" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


 BULAN REJAB DI DALAM AL QURAN DAN AS SUNNAH

Al Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyebut secara tidak langsung iaitu Surah al Baqarah(ayat 194 dan 217) dan surah At Taubah (ayat 2,36 dan 37)

"Mereka bertanya kepadamu(wahai Muhammad) mengenai(hukum)berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah"Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi(orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat(orang-orang Islam) ke Masjidil Haram(di Mekah),serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT. (Al Baqarah ayat 217)

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada Al Ashur Hurum selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah) 


PERISTIWA PENTING BULAN REJAB

 1. Hijrah Pertama Dalam Islam

    Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

    Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan Isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.

 2. Israk dan Mikraj

     Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.

    Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Isla wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.

 3. Peperangan Tabuk

    Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dangeru n kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran.Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

4. Pembebasan Baitul Maqdis

    Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah,orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya     ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali     tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

"Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku, Ramadhan bulan Umatku"

بسم الله الرحمن الرحيم

Rejab kembali lagi dalam fasa ke 7 untuk  tahun 1432H ini. Diikuti bulan Syaabaan pada fasa ke 8 dan seterusnya Ramadhan pada fasa ke 9.Rutinya, kita sering disampaikan hadis Rasulullah "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku, Ramadhan bulan Umatku" sebagai motivasi untuk mempertingkatkan bekalan ibadah sepanjang 3 bulan mulia ini. 

Tetapi sejauh mana kefahaman kita tentang makna sebenar peningkatan ibadah dan kenapa peningkatan ibadah sangat-sangat di tekan pada ketiga-tiga bulan ini? Apa pula peristiwa disebaliknya? Kebiasaaanya, kita sering diceritakan tentang Israk Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab, Nisfu Syaaban di bulan Syaaban dan juga sejarah penurunan Al Quran di bulan Ramadhan. Malah, ganjaran ibadah yang dijanjikan Allah untuk setiap ibadah yang dilakukan dalam ke tiga-tiga bulan ini juga berkali-kali ganda dari biasa.

Jadi, dikesempatan ini, marilah kita sama-sama  mencari jawapan dan mengupas erti sebenar disebalik sejarah yang pernah berlaku di tiga bulan mulia ini supaya setiap ibadah yang sudah dan bakal kita persembahkan berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar..sesuai dengan perintah Allah dari surah Al-Israa' iaitu;

"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya". Surah Al-Israa', ayat 36.